Categories
Berita Semasa

Serangan Dron Israel Mencederakan Seorang Awam Di Selatan Lubnan.

Isnin, 09/06/2025 – Seorang awam cedera pada Khamis akibat serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah kereta di selatan Lubnan, ketika tentera penjajah Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata melalui pencerobohan dan kerja-kerja ketenteraan di sepanjang sempadan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan berlaku di bandar Burj Qlawiyeh, daerah Bint Jbeil. Sebuah dron Israel menyerang sebuah kereta dan mencederakan seorang awam.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa sebuah dron musuh menyasarkan kenderaan jenis Rapid berhampiran sekolah rasmi di bandar Qlawiyeh, wilayah Tyre.

Dalam insiden berasingan, agensi itu melaporkan bahawa selepas tengah malam, 20 anggota infantri Israel melintasi Garisan Biru di timur Mays al-Jabal, kawasan Krum al-Marah, daerah Marjayoun. Pasukan itu, bersama sebuah jentolak, bergerak ke kawasan Krum al-Sharqi, menggali parit dan membina benteng tanah di dalam wilayah Lubnan.

Sementara itu, tentera Lubnan melaporkan bahawa satu unit pakar telah meletupkan sebutir bom tidak meletup yang ditinggalkan oleh tentera Israel. Bom itu dipindahkan ke kawasan lapang Qlaia-Marjayoun untuk dilupuskan secara terkawal.

Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan pada 8 Oktober 2023. Ia berkembang menjadi perang besar pada 23 September 2024, mengorbankan lebih 4,000 nyawa dan mencederakan hampir 17,000 orang. Serangan itu turut menyebabkan kira-kira 1.4 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Gencatan senjata bermula pada 27 November 2024, tetapi pelanggaran oleh Israel masih berterusan. Menurut data rasmi Lubnan, sejak gencatan senjata, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 208 orang dan mencederakan 501 yang lain.

Walaupun sebahagian tenteranya berundur, tentera Israel masih menduduki lima bukit strategik di selatan Lubnan yang ditawan dalam perang baru-baru ini, secara terbuka melanggar perjanjian gencatan senjata.

Penterjemah : Ezatul