
Selasa, 10/06/2025 – Seorang warga Lubnan syahid dan beberapa lagi cedera pada hari ketiga Aidiladha, Ahad, selepas serangan udara Israel menyasarkan sebuah motosikal dengan dua peluru berpandu di jalan antara Al-Shahabiya dan Kafr Dunin, Daerah Tyre, selatan Lubnan.
Agensi berita Lubnan melaporkan bahawa sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah motosikal tersebut di bandar Al-Shahabiya, di selatan negara itu.
Sebelum itu, sumber sama melaporkan sebuah dron Israel terbang rendah di kawasan Sarafand, Saksekiyeh, Adloun, Abu Al-Aswad, Al-Qasimiya, Al-Burghliyeh dan simpang Abbasieh di selatan Lubnan.
Pada 8 Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan yang berkembang menjadi perang berskala penuh pada 23 September 2024. Serangan itu mengorbankan lebih 4,000 nyawa, mencederakan sekitar 17,000 orang dan menyebabkan hampir 1.4 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sejak gencatan senjata bermula pada 27 November 2024, Israel dilaporkan telah melanggar perjanjian tersebut ribuan kali, mengakibatkan sekurang-kurangnya 208 orang syahid dan 501 cedera, menurut data rasmi.
Walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, tentera Israel hanya berundur sebahagian dari selatan Lubnan dan terus menduduki lima bukit yang ditawan semasa perang lalu.
Penterjemah : Ezatul