
Selasa, 17/06/2025 – Pasukan pendudukan Israel (IOF) memindahkan beberapa keluarga warga Palestin dan mengambil alih rumah mereka di Bandar al-Khalil dan menjadikannya sebagai penempatan dan pos tentera sejak beberapa jam yang lalu.
Menurut sumber tempatan, IOF menyerbu kejiranan Universiti al-Khalil di bandar itu dan memaksa keluarga Takruri meninggalkan rumah mereka di bawah ancaman senjata, tanpa membenarkan mereka membawa barangan peribadi mereka.
Sumber itu menambah bahawa askar Israel merampas rumah keluarga tersebut dan mengubahnya menjadi pos tentera.
IOF juga mengambil alih rumah lain di bandar Idhna, barat bandar al-Khalil, dan memberitahu pemiliknya bahawa rumah mereka akan digunakan sebagai penempatan tentera selama beberapa hari.
Tentera Israel turut merampas rumah keluarga Shabana di kawasan Wadi al-Herya di Kota al-Khalil untuk tujuan yang sama. Beberapa hari lalu, jentolak IOF memusnahkan sepenuhnya 12 khemah dan rumah warga Palestin serta memindahkan secara paksa penduduk perkhemahan daripada kawasan Khilat al-Dabaa,Masafer Yatta yang berada di selatan bandar al-Khalil.
Penterjemah : Hj Fariz