
Isnin, 30/06/2025 – Dua pemuda Palestin cedera selepas diserang pendatang Yahudi yang disokong tentera Israel di selatan Nablus malam tadi.
Menurut sumber tempatan, mereka dipukul dengan teruk di kawasan pergunungan Qamas, antara Beita dan Osrin. Keadaan mereka belum diketahui.
Dalam insiden berasingan, tentera Israel merampas sebuah rumah di Kampung Al-Lubban Al-Sharqiya dan menjadikannya pos tentera. Rumah milik Nael Owais itu diserbu, dijadikan berek, dan dikibarkan bendera Israel di atas bumbung.
Beberapa kenderaan tentera turut meronda kawasan kampung sambil mengganggu dan menyekat pergerakan penduduk.
Sejak kebelakangan ini, tentera Israel semakin kerap menukar rumah-rumah Palestin di Tebing Barat menjadi pos tentera. Penduduk diusir, harta dirosakkan atau dicuri, dan kawasan kediaman diisytihar zon tentera—langkah yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Rumah yang dirampas dijadikan pos kawalan, lokasi penembak tepat, atau tempat soal siasat. Ada juga bangunan apartmen penuh yang diubah menjadi kem tentera. Beberapa penduduk mendakwa mereka dipukul dan dihina semasa pengusiran. Ada yang kehilangan barangan peribadi, termasuk wang tunai, manakala isi rumah dirosakkan sepenuhnya oleh tentera.
Penterjemah : Ezatul