Categories
Berita Semasa

Hamas: Tindakan Mengosongkan Jemaah dari Al-Aqsa Usaha Zionis Untuk Kukuhkan Kawalan

Rabu, 02/07/2025 – Gerakan Hamas mengecam keras pencerobohan ke kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa yang diberkati oleh puluhan peneroka Yahudi, yang dilakukan di bawah perlindungan ketat polis penjajah Israel.

Selepas masjid dikosongkan daripada para jemaah Muslim, peneroka terbabit dilaporkan melakukan ritual Talmudik – satu tindakan yang disifatkan oleh Hamas sebagai eskalasi berbahaya serta pelanggaran terang-terangan terhadap kesucian Al-Aqsa. Hamas menyifatkan insiden ini sebagai “usaha terdesak Zionis untuk mengukuhkan kawalan” ke atas tapak suci tersebut.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada malam Ahad, Hamas menyeru rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki, Tebing Barat, serta wilayah Palestin yang diduduki sejak 1948 agar berhimpun dan tetap teguh di Masjid Al-Aqsa bagi mempertahankannya daripada cubaan rejim penjajah untuk menjudaikan tapak suci Islam itu.

Hamas turut menggesa negara-negara Arab dan Islam agar segera mengambil tindakan tegas dan bermakna bagi melindungi kiblat pertama umat Islam daripada pencemaran serta usaha mengubah identiti dan statusnya.

Awal pagi semalam, puluhan peneroka Israel dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan Masjid Al-Aqsa melalui Pintu Al-Magharibeh, dengan kawalan keselamatan ketat daripada polis Israel. Mereka kemudian melakukan doa dan ritual Talmudik di kawasan timur masjid.

Sepanjang insiden tersebut, polis Israel telah menghalang kemasukan jemaah Muslim ke dalam masjid bagi memberi laluan kepada para peneroka.

Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel telah melaksanakan sekatan ketat di sekitar Baitulmaqdis, termasuk mendirikan puluhan sekatan jalan di pintu masuk kampung dan kawasan kejiranan, serta melarang penduduk Tebing Barat daripada memasuki bandar itu dan menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Penterjemah : Ezatul