Categories
Berita Semasa

Puluhan warga sivil dibunuh dalam serangan genosid yang berterusan

Rabu, 02/07/2025 – Tentera pendudukan Israel meneruskan serangan maut di pelbagai kawasan Jalur Gaza malam tadi dan pada hari Ahad, membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam.

Menurut sumber media tempatan, tentera Israel juga meneruskan hari ini untuk meletupkan lebih banyak rumah serta mengusir keluarga di Jalur Gaza, yang semakin mendalamkan krisis kemanusiaan yang teruk apabila penduduk berdepan dengan kebuluran yang semakin teruk.

Menurut wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) di Gaza, serangan Israel telah berterusan di seluruh Jalur Gaza, termasuk serangan Israel yang membunuh tiga orang di kawasan Mawasi di Khan Yunis.

Serangan lain ke atas perhimpunan warga di kawasan kejiranan at-Tuffah di Bandar Gaza membunuh dua orang daripada mereka.

Serangan artileri Israel juga membunuh tiga kanak-kanak dari keluarga Abu Warda di jalan Ahmed Fekri di kawasan Jabalia an-Nazla, utara Gaza.

Empat orang syahid, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, berikutan serangan Israel ke atas sebuah rumah milik keluarga Al-Ashi di kawasan kejiranan al-Sabra di Bandar Gaza.

Lima orang juga terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kawasan kejiranan at-Tuffah.

Dua kanak-kanak terbunuh dan yang lain mengalami kecederaan dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah milik keluarga Azzam di kawasan kejiranan az-Zeitoun di Bandar Gaza.

Puluhan orang juga syahid atau cedera dalam serangan Israel ke atas mereka yang mencari bantuan berhampiran pusat pengedaran yang disokong AS di selatan dan tengah Gaza.

Tentera Israel juga melancarkan serangan ke atas kawasan lain di Jalur Gaza malam tadi dan hari ini, membunuh dan mencederakan lebih ramai orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Sementara itu, ramai penduduk Gaza disahkan meninggal dunia selepas mereka menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan yang mereka alami dalam serangan terbaru ini.

Penterjemah : Hj Fariz