Categories
Berita Semasa

Pejabat Media Kerajaan (GMO) mengutuk rancangan untuk memindah paksa rakyat di Gaza dengan menyamar disebalik bantuan kemanusiaan

Selasa, 08/07/2025 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) di Gaza telah mengutuk apa yang digambarkannya sebagai rancangan rahsia AS-Israel untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin dari Jalur Gaza  kononnya di bawah kepalsuan  bantuan kemanusiaan.

GMO secara khusus menamakan Boston Consulting Group (BCG) dan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang baru ditubuhkan sebagai pemain utama dalam apa yang disebutnya sebagai “skim genosid.”

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Ahad, GMO merujuk kepada siasatan terkini Financial Times yang mendedahkan penglibatan BCG dalam membangunkan model kewangan untuk pengusiran besar-besaran rakyat Palestin di Gaza.

Rancangan itu, yang dilaporkan dinamakan “Projek Aurora,” mencadangkan pemindahan lebih daripada setengah juta orang melalui apa yang dipanggil “pakej pemindahan” yang dibiayai oleh pelabur asing.

Menurut laporan tersebut, GHF — sebuah organisasi yang disokong oleh AS dan Israel — ditubuhkan sebagai badan eksekutif untuk usaha ini. Walaupun GHF mendakwa memberikan bantuan, pihak berkuasa tempatan mengatakan operasi GHF telah menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 751 orang awam, kecederaan kepada hampir 5,000 orang lagi, dan kehilangan 39 individu.

Organisasi tersebut telah ditolak secara meluas oleh komuniti kemanusiaan antarabangsa, dengan 130 kumpulan bantuan kebajikan enggan bekerjasama dengannya dan ada yang menuduhnya bertindak sebagai “alat untuk tujuan ketenteraan Israel.”

Projek tersebut didakwa melibatkan pembiayaan rahsia, sokongan logistik daripada firma keselamatan swasta AS, dan pelanggaran norma asasi kemanusiaan, yang akhirnya mendorong pihak BCG untuk menjauhkan diri daripada operasi tersebut selepas mendapat tentangan dalaman.

GMO memberi amaran bahawa inisiatif yang disamarkan sebagai usaha bantuan tetapi bertujuan untuk pembersihan etnik adalah jenayah besar dan akan dihadapi dengan pertanggungjawaban. Ia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak “naratif bantuan kemanusiaan palsu” dan memastikan semua pihak yang terlibat bertanggungjawab ke atas jenayah terhadap rakyat Palestin.

“Konspirasi sistematik ini bertujuan untuk memadamkan perjuangan Palestin dan mengusir rakyat kami dari tanah air mereka,” kata kenyataan itu. “Tetapi rakyat kami, walaupun menghadapi genosid, kebuluran, dan pengusiran paksa, tetap teguh dan berpasak di tanah air mereka.” Kami tidak akan pernah melepaskan hak-hak kami,” tambahnya.

Penterjemah : Hj Fariz