
Isnin, 14/07/2025 – Tentera Zionis Israel (IOF) telah memulakan kerja-kerja merobohkan 400 buah rumah kediaman di kem pelarian Tulkarem, sebagai sebahagian daripada serangan berterusan mereka ke atas bandar dan kem tersebut, yang kini memasuki hari ke-162 berturut-turut.
Sumber tempatan melaporkan bahawa jentolak berat Israel telah mula merobohkan bangunan-bangunan di kawasan kejiranan “Al-Marbou’a” dalam kem tersebut, sebagai sebahagian daripada rancangan baru untuk meratakan 104 bangunan yang menempatkan kira-kira 400 buah rumah. Ini adalah kesinambungan daripada siri pencerobohan baru-baru ini yang telah dijalankan di beberapa kawasan lain dalam kem tersebut.
Pihak IOF telah mengumumkan pada hari Ahad tentang niat mereka untuk menjalankan operasi perobohan berskala besar di kem pelarian Tulkarem bermula hari Isnin, tanpa menghiraukan keputusan Mahkamah Agung Israel sebelum ini yang telah membekukan sementara arahan perobohan tersebut.
Penterjemah : Norshuhada Samudin