Categories
Berita Semasa

Warga Kristian Gaza Dibunuh, Zionis Serang Gereja.

Isnin, 21/07/2025 – Dua warga emas Palestin dibunuh dan beberapa lagi cedera—termasuk Paderi Gabriel Romanelli, paderi paroki   Gereja Holy Family, pada Khamis berikutan serangan udara Zionis yang menyasarkan gereja di timur Kota Gaza.

Mouhammad Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, berkata, “Dua orang mati syahid berikutan serangan Zionis ke atas Gereja Holy Family. Mereka berada dalam keadaan kritikal.”

Mangsa dikenali sebagai Saad Salama, berusia sekitar 60 tahun, dan Fumya Ayad, kira-kira 80 tahun, kedua-duanya dibunuh di gereja itu.

Basal menambah, “Hari ini kami mengucapkan selamat tinggal kepada dua saudara Kristian kami yang tidak melakukan kesalahan. Penjajah tidak membezakan, ia menyasarkan orang Kristian dan Muslim, gereja dan masjid.”

Beliau menyatakan bahawa gereja itu telah melindungi kira-kira 400 orang Kristian yang mencari perlindungan di sana selepas rumah mereka musnah semasa perang berterusan yang kini telah berlangsung selama 22 bulan.

Orang yang kehilangan tempat tinggal percaya gereja itu adalah tempat yang selamat, “tetapi malangnya, ia disasarkan oleh tentera Israel untuk kali ketiga sejak perang bermula.”

Basal menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk “mengambil tindakan segera untuk melindungi orang awam,” sambil bertanya dengan marah, “Mengapa orang ini dibunuh? Dunia mesti bertanggungjawab untuk melindungi orang awam.”

Terdahulu, Patriarkat Latin Baitulmaqdis mengesahkan dalam satu kenyataan akhbar bahawa  Gereja Holy Family telah diserang oleh tentera Zionis, mencederakan beberapa rakyat Palestin termasuk Paderi Romanelli.

Serangan udara itu menyebabkan kerosakan pada  Gereja Holy Family, satu-satunya gereja Katolik di Semenanjung Gaza, menurut Patriarkat Latin.

Penterjemah : Ameen