Categories
Berita Semasa

Ansarullah Melakukan Serangan Dron Berganda: Aset Israel Disasarkan

Isnin, 21/07/2025 – Jurucakap tentera bagi kumpulan Ansarullah Yaman, Yahya Saree mengumumkan bahawa pada hari Selasa yang lalu, kumpulan itu telah berjaya melakukan operasi ketenteraan secara serentak sebanyak dua kali menggunakan tiga dron. Dalam operasi tersebut, mereka menyasarkan tapak tentera di dalam wilayah Palestin yang dijajah. 

Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa dua dron menyerang sasaran tentera di wilayah Negev, manakala yang ketiga menyasarkan pelabuhan Umm al-Rashrash (Eilat). Oleh itu beliau  mengesahkan bahawa operasi itu berjaya mencapai objektifnya.

Jurucakap tentera tersebut sekali lagi menegaskan bahawa Israel perlu bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai kejam terhadap orang awam di Gaza selama ini. 

Beliau menekankan bahawa pengeboman berterusan, penyasaran kanak-kanak dan wanita, dan penafian akses kepada makanan dan ubat-ubatan merupakan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Saree,dalam kenyataan tersebut, turut mengingatkan bahawa apa yang berlaku di Gaza adalah tanggungjawab seluruh dunia dari segi agama, moral, dan sejarah.

Beliau juga mengkritik tindakan “berdiam diri dan tidak bertindak” hanya akan menggalakkan musuh untuk melaksanakan rancangan penjajahannya.

Sebagai maklumat, sejak 7 Oktober 2023, tentera penjajah, dengan sokongan penuh Amerika, terus melakukan jenayah genosid di Gaza, menyebabkan setakat ini, lebih 197,000 rakyat Palestin terbunuh atau cedera. Lebih menyedihkan kebanyakan mangsa merupakan kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 10,000 dilaporkan hilang, selain ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Penterjemah : Halimah