
Jumaat, 01/08/2025 – Pihak penjajah Zionis (IOA) memanggil Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, dan pendakwah Masjidil Aqsa, Sheikh Mohammad Hussein, untuk disoal siasat, dan memutuskan menghalangnya daripada memasuki Masjid selama seminggu, tertakluk kepada pembaharuan.
Majlis Gabenor Baitulmaqdis dalam satu catatan di laman Facebooknya berkata IOA melarang Mufti Besar Wilayah Palestin, Sheikh Mohammad Hussein, daripada memasuki Masjidil Aqsa selama lapan hari yang boleh diperbaharui, kerana kecamannya terhadap pengepungan dan kelaparan Gaza semasa khutbah Jumaatnya.
Mufti Hussein berkata beliau telah dipanggil oleh perisikan Israel pagi ini untuk disoal siasat di Kota Lama dan telah diserahkan keputusan itu.
Mufti juga menyatakan bahawa “IOA meminta saya menandatangani perintah larangan itu, tetapi saya menolak.”
Penterjemah : Ameen