Categories
Berita Semasa

Hamas Puji Pendirian Perancis Kutuk Keganasan Peneroka di Tebing Barat

Jumaat, 01/08/2025 – Gerakan Hamas memuji pendirian tegas kerajaan Perancis yang mengutuk keganasan peneroka Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat sebagai tindakan keganasan. Pujian itu dinyatakan oleh pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu langkah penting ke arah pengiktirafan penuh terhadap penderitaan rakyat Palestin di bawah penjajahan dan peluasan penempatan haram Israel.

“Kenyataan ini mengesahkan kebenaran dan keadilan naratif Palestin, membongkar kekejaman peneroka yang selama ini diabaikan oleh masyarakat antarabangsa, dan memperkukuh tuntutan kami untuk menamatkan penjajahan serta mendakwa mereka yang melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin,” kata Mardawi.

Beliau turut menggesa negara-negara lain agar mengambil pendirian serupa — atau lebih tegas — dengan mengambil langkah praktikal dan bukan sekadar kecaman lisan. Tegasnya, tindakan sedemikian perlu bagi memastikan perlindungan terhadap rakyat Palestin dan untuk menghentikan jenayah serta dasar peluasan penempatan oleh rejim penjajah.

Mardawi juga menyeru masyarakat antarabangsa agar mengenakan sekatan terhadap peneroka Israel dan pihak yang menyokong mereka, serta menuntut agar kerajaan penjajah Israel dipertanggungjawabkan atas peningkatan serangan ke atas penduduk dan tanah Palestin.

Kenyataan Perancis dikeluarkan susulan pembunuhan Odeh Al-Hathaleen, seorang aktivis hak asasi manusia Palestin, yang ditembak mati oleh seorang peneroka Israel pada malam Isnin di Khirbet Umm al-Khair, kawasan Masafer Yatta, selatan bandar Al-Khalil.

Kementerian Luar Perancis dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian tersebut sebagai sebahagian daripada tindakan keganasan yang dilakukan oleh peneroka ekstremis terhadap rakyat Palestin, yang kini semakin kerap berlaku di seluruh Tebing Barat.

“Perancis mengecam keras pembunuhan ini serta semua bentuk keganasan yang dilakukan oleh peneroka ekstremis terhadap rakyat Palestin. Tindakan-tindakan ini adalah keganasan,” kata jurucakap kementerian itu.

Menurut kenyataan yang sama, lebih 30 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan peneroka sejak awal tahun 2022. Perancis turut menegaskan bahawa pihak berkuasa Israel perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya, menghukum para pelaku, dan segera mengambil langkah untuk melindungi orang awam Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Haaretz melaporkan bahawa mahkamah Israel telah membebaskan peneroka Israel yang menembak mati Odeh Al-Hathaleen — satu lagi insiden yang mencerminkan budaya kekebalan undang-undang yang terus dinikmati oleh peneroka di bawah perlindungan politik kerajaan sayap kanan Israel.

Serangan oleh peneroka Israel semakin meningkat sejak pembentukan kerajaan Israel yang kini diketuai oleh tokoh-tokoh ekstremis, yang didakwa memberikan perlindungan politik dan keselamatan kepada keganasan terhadap rakyat Palestin.

Penterjemah : Ezatul