
Isnin, 04/08/2025 – Doktor Tanpa Sempadan (Médecins Sans Frontières, MSF) telah memberikan amaran serius mengenai peningkatan mendadak dalam kekurangan zat nutrisi makanan kanak-kanak di Gaza, di mana tentera pendudukan Israel meneruskan pembunuhan genosid dan menggunakan bantuan makanan sebagai senjata yang mengakibatkan kebuluran.
Pasukan MSF melaporkan secara purata sebanyak 25 kes baru kekurangan zat makanan yang kronik di kalangan kanak-kanak setiap hari dan jumlah ini meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Inas Abu Khalaf, pegawai komunikasi MSF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, menyifatkan krisis itu sebagai “malapetaka mengikut semua piawaian dan kami belum pernah lagi melihat bencana kemanusiaan sebesar ini, walaupun sewaktu peperangan sebelumnya.”
Abu Khalaf menegaskan tiada lagi tempat selamat di Gaza apabila Israel menggunakan makanan sebagai senjata perang. “Orang awam, termasuk bayi, sedang ditolak keluar ke zon perang setiap hari,” katanya, sambil menyatakan bahawa MSF terpaksa mengosongkan pusat kesihatan kerana serangan yang berterusan.
Dia juga mengecam organisasi yang kononnya dipanggil “Yayasan Bantuan Kemanusiaan Gaza,” disokong oleh Israel dan AS dan menggelarkannya sebagai ” satu muslihat untuk penerusan pembunuhan secara harian.”
MSF menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera dan tanpa syarat, penghapusan sekatan, dan pematuhan penuh kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, lebih 1,300 orang telah syahid dan beribu-ribu cedera ketika cuba mengakses makanan berhampiran tempat pengedaran yang disasarkan oleh pasukan pendudukan Israel.
Penterjemah : Hj Fariz