Categories
Berita Semasa

Tahanan Palestin Meninggal Dunia di Penjara Israel

Selasa, 05/08/2025 – Pihak Berkuasa Hal Ehwal Sivil Palestin telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan mengenai kematian tahanan pentadbiran, Ahmed Saeed Saleh Tazzazaa, 20 tahun, yang meninggal dunia di Penjara Megiddo, tempat beliau ditahan sejak 6 Mei 2025. Tiada maklumat terperinci didedahkan setakat ini mengenai punca sebenar kematiannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, suruhanjaya itu menyatakan bahawa Penjara Megiddo merupakan antara penjara paling terkenal dengan pelanggaran hak asasi yang teruk, termasuk penyebaran penyakit kudis (scabies) secara meluas — sesuatu yang didakwa telah dijadikan alat pembunuhan perlahan oleh pihak pentadbiran penjara.

Dengan kematian Tazzazaa, jumlah tahanan dan banduan Palestin yang telah syahid sejak bermulanya genosid meningkat kepada 76 orang, kesemuanya dikenal pasti walaupun berdepan dengan jenayah berterusan penghilangan paksa. Menurut rekod rasmi, jumlah keseluruhan tahanan Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan sejak 1967 kini mencecah 313 orang.

Kenyataan itu menekankan bahawa peningkatan luar biasa dalam kadar kematian tahanan membuktikan bahawa sistem penjara Israel sedang melaksanakan dasar hukuman mati secara perlahan terhadap rakyat Palestin yang ditahan.

“Tiada satu bulan pun berlalu tanpa penambahan nama baru dalam senarai syuhada dari kalangan gerakan tahanan. Dengan jenayah yang berterusan di dalam penjara, jumlah korban dijangka terus meningkat kerana ribuan masih ditahan dalam keadaan yang sangat tidak berperikemanusiaan dan diseksa setiap hari,” menurut kenyataan tersebut.

Antara bentuk penderaan yang dinyatakan termasuk seksaan fizikal dan mental, kebuluran, serangan berterusan, pengabaian perubatan, penderaan seksual, serta penempatan dalam keadaan yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dan berbahaya, seperti scabies, disamping dasar penyeksaan yang bersifat sistematik dan terancang.

Suruhanjaya dan Kesatuan Tahanan Palestin menyifatkan kematian Tazzazaa sebagai satu lagi bukti kepada “sistem kebiadaban” Israel yang menggunakan penjara sebagai alat dalam kempen genosid berterusan terhadap rakyat Palestin.

“Ketika dunia sibuk menuntut pembebasan tawanan Israel, mereka menutup mata terhadap pembunuhan sistematik dan penyeksaan kejam yang berlaku terhadap tahanan Palestin,” tambah kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya tersebut menegaskan bahawa rejim Israel harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kematian Tazzazaa, dan sekali lagi menggesa badan-badan hak asasi antarabangsa agar mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekebalan luar biasa yang dinikmati Israel.

Pihaknya juga menuntut agar sekatan yang jelas dikenakan terhadap Israel, demi mengembalikan peranan asal sistem hak asasi antarabangsa, serta menamatkan keadaan lumpuh semasa dalam menghadapi siri jenayah perang dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan yang sedang berlangsung.

Penterjemah : Ezatul