
Jumaat, 08/08/2025 – Briged Izz ad-Din al-Qassam yang merupakan sayap tentera Gerakan Pertahanan Islam (Hamas), mengumumkan pada petang Ahad bahawa ia telah membedil perhimpunan askar penjajah Israel di timur Kota Gaza. Dalam catatan di Telegram tersebut, Briged Qassam berkata ia telah membedil perhimpunan askar dan kenderaan Israel berhampiran Sekolah al-Hashemia, timur kejiranan al-Tuffah di timur Kota Gaza, dengan beberapa peluru mortar.
Sebagai info, sejak pencerobohan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, kumpulan pejuang, yang diketuai oleh Briged Al-Qassam, terus menghadapi penjajah menggunakan segala cara yang mungkin, sehingga mengakibatkan korban.
Manakala tentera penjajah Israel telah terus-menerus melakukan pencerobohannya di Semenanjung Gaza, dengan sokongan penuh Amerika semenjak itu. Ini telah menyebabkan kira-kira 208,000 rakyat Palestin mati atau cedera di mana kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita manakala lebih 9,000 yang lain dilaporkan hilang. Beratus-ratus ribu orang pula telah kehilangan tempat tinggal dengan situasi yang semakin memburuk apabila kebuluran telah menjadi satu ancaman yang meragut banyak nyawa mangsa peperangan.
Penterjemah : Halimah