
Isnin, 25/08/2025 – Ketua Hakim Mahkamah Agung Israel Yitzhak Amit memberi amaran bahawa dunia telah mula membandingkan penjara Israel dengan pusat tahanan Teluk Guantanamo Amerika yang terkenal serta mengkritik larangan yang dikeluarkan ke atas Palang Merah untuk melawat tahanan Palestin yang ditangkap selepas Pertempuran Taufan Al-Aqsa.
Amit menyatakan pendiriannya itu semasa sesi tertutup untuk membincangkan petisyen yang dikemukakan oleh pertubuhan hak asasi manusia. Dalam petisyen tersebut, pertubuhan tersebut menuntut supaya Palang Merah dibenarkan melawat tahanan Palestin. Sesi itu diadakan dengan hanya wakil kerajaan yang hadir, manakala wakil pempetisyen tidak hadir, menurut Haaretz.
Pendedahan itu menyebut bahawa Amit dan Hakim Dafna Barak-Erez mengkritik keengganan kerajaan membenarkan Palang Merah melawat tahanan di Israel dan memberikan maklumat tentang keadaan mereka.
Hakim memberitahu wakil kerajaan, “Sekarang, apa yang didedahkan kepada dunia ialah penjara di Israel adalah seperti Guantanamo,” sambil menambah, “Apa yang dilaporkan di dunia ialah terdapat kebuluran (di dalam penjara), dan bahawa berpuluh-puluh banduan sedang mati. Anda meletakkan kami (mahkamah) dalam perhatian.”
Sesi tertutup itu diadakan selepas beberapa bulan kelewatan kerajaan dalam menjawab permintaan kebenaran Palang Merah melawat banduan. Pertubuhan hak asasi manusia Israel mengemukakan petisyen menuntut wakil organisasi itu dibenarkan melawat penjara di Israel pada Februari 2024.
ANCAMAN BEN-GVIR
Sebagai tindak balas kepada laporan itu, Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir menyerang hakim Mahkamah Agung, mendakwa bahawa kenyataan mereka membahayakan keselamatan Israel. Ben-Gvir mengancam tahanan Palestin dengan larangan berterusan menerima kunjungan daripada mana-mana pihak asing selagi askar yang ditahan oleh pejuang di Semenanjung Gaza juga tidak menerima sebarang lawatan daripada mana-mana pihak asing.
Sejak permulaan pencerobohannya di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, penjajah Israel telah menangguhkan lawatan Palang Merah ke tahanan Palestin dan menghentikan penyediaan maklumat mengenai mereka. Ben-Gvir telah berulang kali bermegah tentang tindakan kerasnya terhadap tahanan Palestin, mengenakan sekatan ketat terhadap syarat penahanan mereka dan menafikan hak asasi mereka.
Jun lalu, siasatan Haaretz mendedahkan bahawa banduan Palestin di Penjara Megiddo mengalami kekurangan zat makanan, dan ada yang jatuh sakit dan meninggal dunia. Julai lalu, Pejabat Peguam Negara Israel menerbitkan laporan yang menunjukkan kekurangan makanan yang teruk, kebuluran yang melampau, kekurangan air minuman untuk beberapa banduan, dan kekurangan rawatan perubatan asas, menurut laporan itu.
Penterjemah : Halimah