
Selasa, 02/09/2025 – Pusat Perlindungan Wartawan Palestin (PJPC) telah mengeluarkan rayuan mendesak pada hari Rabu, menuntut pemindahan perubatan segera bagi beberapa wartawan Palestin yang mengalami kecederaan parah akibat serangan langsung Israel ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.
Dalam kenyataan akhbar, PJPC mengesahkan bahawa tiga wartawan mengalami kecederaan yang mengancam nyawa serta masa depan kerjaya mereka. Wartawan yang cedera ialah Mohammed Fayeq, yang mengalami lumpuh separa yang berisiko menjadi lumpuh sepenuhnya; Jamal Baddah, yang kaki kanannya telah dipotong; dan Hatem Omar, yang mengalami kecederaan serpihan peluru di kepala.
Pusat tersebut menegaskan bahawa keengganan berterusan untuk membenarkan pemindahan perubatan bagi wartawan yang cedera merupakan suatu “jenayah berganda,” sekali gus menambah kepada senarai panjang pelanggaran Israel terhadap wartawan Palestin, yang telah membayar harga yang amat tinggi ketika membuat liputan perang demi menyampaikan kebenaran kepada dunia.
Penterjemah : Norshuhada Samudin