
Selasa, 09/09/2025 – Petang Ahad yang lalu, Pergerakan Pertahanan Islam Hamas mendedahkan telah menerima pandangan dari pihak Amerika melalui pengantaranya, untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas, pergerakan itu berkata: “Dalam kesempatan ini, kami mengalu-alukan sebarang tindakan yang membantu usaha untuk menghentikan pencerobohan terhadap rakyat kami.”
Hamas turut mengesahkan kesediaannya untuk segera duduk di meja rundingan bagi membincangkan pembebasan semua tawanan sebagai pertukaran untuk pengisytiharan yang jelas mengenai penamatan perang, pengunduran sepenuhnya dari Semenanjung Gaza, dan pembentukan jawatankuasa untuk mentadbir Semenanjung Gaza yang terdiri daripada rakyat Palestin yang merdeka.
Ia juga menyeru “jaminan komitmen penjajah” secara terbuka dan eksplisit kepada syarat-syarat yang dipersetujui, supaya pengalaman perjanjian yang berulang kali dibatalkan sebelum ini tidak terjadi lagi. Dalam kenyataan itu, beliau turut merujuk kepada perjanjian terbaru yang dibentangkan oleh pengantara kepada Hamas berdasarkan cadangan Amerika, yang diterima oleh pergerakan itu di Kaherah pada 18 Ogos yang lalu.
Sehingga kini penjajah masih belum memberi respon terhadap perjanjian tersebut, sebaliknya mereka meneruskan pembunuhan beramai-ramai dan terus melakukan pembersihan etnik. Beliau menekankan bahawa gerakan itu sentiasa berhubung dengan pengantara untuk membangunkan idea-idea ini menjadi perjanjian komprehensif yang memenuhi permintaan rakyat Gaza.
ISRAEL MEMPERTIMBANGKAN CADANGAN AS.
Dalam konteks yang sama, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan pada hari Ahad bahawa Israel “serius mempertimbangkan” cadangan baharu yang dikemukakan oleh Presiden AS Donald Trump berhubung perjanjian pertukaran tahanan dengan kumpulan pejuang Palestin di Gaza, di tengah-tengah peperangan yang masih berterusan di Semenanjung Palestin. Satu kenyataan dari pejabat Netanyahu yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu menyatakan Israel memandang serius inisiatif AS, tetapi menuduh Hamas yang meneruskan “ketidakpastian.”
TRUMP: INI AMARAN TERAKHIR SAYA
Bagi pihaknya, presiden AS meningkatkan tekanan terhadap Hamas, berkata dalam sidang akhbar, “Ini adalah amaran terakhir saya. Israel telah bersetuju dengan syarat saya, dan kini giliran Hamas untuk bersetuju. Kami menuntut pembebasan segera tawanan untuk pulang ke rumah, dan kami semua menuntut penamatan perang ini.”
Israel menganggarkan Hamas menahan 48 banduan di Gaza, termasuk 20 banduan yang masih hidup. Sementara itu, lebih 11,100 banduan Palestin sedang meringkuk di penjaranya. Pertubuhan hak asasi manusia mengatakan mereka mengalami penyeksaan, kelaparan, dan pengabaian perubatan, yang kebanyakannya telah meninggal dunia.
Dengan sokongan Amerika, Israel meneruskan operasi ketenteraannya dan mengenakan sekatan yang menyekat Semenanjung Gaza, mengabaikan seruan dan arahan antarabangsa daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikan perang. Selama beberapa dekad, ia telah menolak untuk berundur dari wilayah Palestin dan Arab yang dijajahi atau menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Penterjemah : Halimah