Categories
Berita Semasa

GSF mendekati Yunani ketika aktivis menentang ancaman Israel untuk membatalkan percubaan mereka untuk memecahkan sekatan Gaza


Jumaat, 26/09/2025 – Flotila Global Sumud (GSF) yang belayar untuk memecah sekatan Israel ke atas Gaza sedang menghampiri perairan wilayah Yunani berhampiran Crete dan mereka menganggarkan flotila akan tiba di Gaza dalam tempoh enam hari lagi.

GSF, yang terdiri daripada berpuluh-puluh bot dan kapal yang membawa aktivis dari hampir 50 negara merupakan usaha maritim awam terbesar setakat ini untuk mencabar pengepungan Israel selama 18 tahun ke atas Gaza, di mana kebuluran telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 442 rakyat Palestin.

Penganjur melaporkan dron yang tidak dikenal pasti berlegar di atas beberapa kapal selama tiga malam berturut-turut merupakan satu perkembangan yang mereka kecam sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan dan memburukkan nama misi tersebut.

Mereka juga mengingatkan kembali insiden awal yang berlaku di Tunisia, di mana dua buah kapal flotila terkena serangan dron Israel di pelabuhan Sidi Bou Said. Israel sehingga sekarang tidak memberi respon mengenai serangan itu.

Ahli parlimen Perancis François Piquemal, yang menyertai flotila itu, menuduh Israel akan mencemarkan nama sesiapa sahaja yang bersuara menentang apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai di Gaza secara sistematik. “Ini adalah inisiatif masyarakat madani dan kemanusiaan,” katanya kepada Anadolu Agency, sambil menegaskan bahawa peserta termasuk doktor, pekerja bantuan, ahli politik, wartawan, dan artis.

“Tuduhan seperti ini adalah taktik biasa sesebuah negara yang melakukan pembunuhan genosid,” kata Piquemal. Pope Francis baru-baru ini juga dituduh sebagai anti-Semit katanya lagi. Retorik sedemikian hanya bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada realiti keganasan sebenar.

Beliau menekankan bahawa misi itu digerakkan di atas tujuan kemanusiaan, bukan politik. Peserta flotila ini enggan berpeluk tubuh berdiam diri dan hanya melihat Gaza terus kebuluran. Mereka bertindak kerana menganggap masyarakat antarabangsa telah gagal melaksanakan tanggungjawab.

Penganjur menekankan bahawa usaha gerakan sivil dan aman mereka mematuhi semua undang-undang antarabangsa dan usaha menghantar bantuan melalui laut ke Gaza adalah hak yang diberikan perlindungan undang-undang. Mereka mengecam ancaman Israel terhadap flotila dan menyifatkannya sebagai cubaan haram untuk mengekalkan sekatan bantuan yang telah menyebabkan 2.4 juta rakyat Palestin berada di dalam tragedi kebuluran.

Sejak tarikh 2 Mac tahun ini, Israel telah menutup semua lintasan sempadan di Gaza dan menghalang trak makanan dan bantuan. Ia hanya membenarkan bantuan yang sangat terhad yang gagal memenuhi keperluan minimum untuk terus hidup. Pada waktu yang sama banyak trak juga telah ditahan dan dirompak oleh kumpulan yang dilindungi oleh tentera Israel.

Dengan sokongan daripada US, pembunuhan genosid Israel di Gaza telah membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 166,000 sejak 7 Oktober 2023.

Penterjemah : Hj Fariz