Categories
Berita Semasa

GMO: Tiada tempat kosong atau selamat bagi penduduk yang dipindahkan secara paksa daripada Gaza City

Rabu, 01/10/2025 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) Gaza berkata bahawa ratusan ribu rakyat Palestin di seluruh  Gaza sekarang dipindahkan semula secara paksa oleh Israel, dan daerah tengah dan selatan Gaza, khususnya kawasan al-Mawasi, tidak mempunyai ruang untuk lebih ramai orang.

“Tiada lagi ruang kosong atau selamat untuk menerima penambahan perpindahan yang lebih ramai,” kata GMO dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa khemah penempatan sementara yang dibuka di kaki lima jalan tidak mampu memberikan keselamatan yang baik  “disamping  tidak dapat memenuhi keperluan minima untuk kehidupan manusiawi  yang bermaruah.”

GMO berkata tentera pendudukan Israel terus menghalang khemah yang disumbang oleh masyarakat antarabangsa daripada masuk ke dalam Gaza, manakala baki yang masih ada dijual di pasar pula harganya amat mahal, menyebabkan ramai terpaksa meneruskan kehidupan tanpa sebarang perlindungan daripada hambatan cuaca buruk. Ini adalah hasil daripada “dasar sistematik” pihak Israel yang disokong oleh pentadbiran US, tambahnya. GMO menyeru masyarakat antarabangsa bertindak untuk segera menyediakan perlindungan bagi penduduk Gaza yang terus ditekan dan dizalimi rejim pendudukan.

Penterjemah : Hj Fariz