
Rabu, 05/11/2025 – Hamas mengecam keras tuduhan palsu daripada Markas pemerintahan pusat AS (Centcom) yang menuduhnya merompak lori bantuan kemanusian di Gaza
Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, Hamas menolak tuduhan AS sebagai “tidak berasas” dan “bermotifkan politik, hanya digunakan sebagai alasan untuk menyekat lebih banyak bantuan kemanusiaan yang sehingga hari ini amat terhad diterima dan juga mengalihkan pandangan umum daripada kegagalan usaha komuniti antarabangsa untuk menamatkan sekatan dan kebuluran rakyat di Gaza.”
Semasa perang, lebih seribu anggota polis dan keselamatan telah terbunuh dan ratusan lagi cedera sewaktu mereka melaksanakan tugas menjaga keamanan dan keselamatan konvoi bantuan serta memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Situasi huru-hara dan rompakan berhenti serta-merta selepas pengunduran tentera pendudukan, ini justeru membuktikan bahawa kacau bilau didalangi oleh tentera pendudukan sewaktu kehadirannya,” maklum Hamas.
Pergerakan itu menegaskan bahawa sehingga hari ini tiada sebarang aduan telah dilaporkan oleh mana-mana organisasi antarabangsa atau tempatan, mahupun oleh pemandu konvoi bantuan, mengenai sebarang kejadian sedemikian.
Pergerakan itu menyifatkan dakwaan Centcom US itu sebagai “cerita rekaan yang dirancang” bertujuan semata untuk menambahkan sekatan ke atas Gaza dan pengurangan bantuan kemanusiaan.
Pada isu yang berkaitan, Pejabat Media Kerajaan Gaza menjelaskan bahawa “purata harian jumlah lori komersial dan bantuan yang memasuki Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober ialah 145 buah – iaitu hanya 24% daripada kuantiti yang dipersetujui iaitu 600 lori yang sepatutnya masuk setiap hari mengikut perjanjian.”
GMO menambah bahawa “jumlah lori bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza diantara 10 dan 31 Oktober ialah 3,203 buah, termasuk 639 lori komersial dan 2,564 lori bantuan, antaranya 84 lori membawa bahan api diesel dan 31 lori membawa gas memasak.”
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menghalang kemasukan lori bantuan dan komersial dan menegaskan pihak Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap situasi kemanusiaan yang semakin parah dihadapi oleh lebih 2.4 juta orang di Semenanjung Gaza akibat daripada pengepungan berterusan dan tindakan tanpa perikemanusiaan menghalang aliran barangan keperluan,” kata GMO dalam kenyataannya pada hari Sabtu.
GMO menggesa presiden AS Donald Trump, negara-negara penaja perjanjian, dan semua pihak pengantara untuk ” mengambil tindakan segera dan memaksa rejim pendudukan Israel melaksanakan perjanjian yang telah ditandatangani, terutamanya klausa mengenai kemasukan bantuan kemanusiaan dan bantuan tanpa sekatan atau syarat supaya boleh mengurangkan penderitaan yang terus meningkat bagi rakyat kami di Semenanjung Gaza.”
Penterjemah : Hj Fariz