
Rabu, 05/11/2025 – Pengarah Besar Kompleks Perubatan Al-Shifa, Dr. Mohammed Abu Salmiya, pada Khamis memaklumkan bahawa sektor kesihatan Gaza hanya menerima 10% daripada bekalan perubatan penting sejak pengumuman gencatan senjata, sambil memberi amaran bahawa sekatan yang dikenakan Israel terus mengorbankan nyawa pesakit setiap hari.
Menurut beliau, sekatan berterusan rejim Israel terhadap kemasukan ubat-ubatan merupakan satu bentuk “hukuman mati perlahan,” dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan akan berlakunya penularan penyakit akibat kekurangan teruk ubat serta peralatan perubatan.
Dr. Abu Salmiya menjelaskan bahawa seramai 350,000 pesakit di Gaza amat memerlukan ubat untuk penyakit kronik, manakala jumlah pesakit asma meningkat mendadak disebabkan habuk dan serpihan yang ditinggalkan akibat serangan perang genosid Israel di wilayah tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa 22,000 pesakit memerlukan rawatan di luar negara, termasuk 18,000 yang telah melengkapkan semua persiapan perlu, namun masih terhalang untuk berlepas akibat penutupan lintasan sempadan oleh Israel. Tambahnya, 1,000 pesakit telah meninggal dunia akibat sekatan serta penutupan berterusan lintasan sempadan Gaza.
Dr. Abu Salmiya menegaskan bahawa Kompleks Perubatan Al-Shifa kini sedang melaksanakan pelan kecemasan bagi memulihkan sistem kesihatan Gaza dan memenuhi keperluan pesakit secepat mungkin.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Sekolah UNRWA mengumumkan pelancaran program saringan kesihatan menyeluruh untuk pelajar sekolah di kawasan tengah dan selatan Gaza. Inisiatif ini bertujuan melindungi kesihatan pelajar melalui kempen vaksinasi, diagnosis awal dan rawatan pencegahan.
Program tersebut merangkumi pemeriksaan kesihatan lengkap untuk murid Tahun Satu, termasuk imunisasi penting, ujian penglihatan dan pertuturan, serta pemantauan penyakit kronik. Ia turut menyediakan perkhidmatan vaksinasi untuk pelajar Gred Sembilan.
UNRWA menyeru para ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka hadir bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan tersebut, sambil menekankan kepentingan vaksinasi tepat pada masanya, pemantauan kesihatan berterusan dan intervensi awal bagi mengelakkan komplikasi kesihatan di masa hadapan.
Penterjemah : Ezatul