Categories
Berita Semasa

Pegawai PBB Gesa Tindakan Segera Untuk Memulihkan Rantaian Bekalan Makanan Gaza

Isnin, 10/11/2025 – Stefanos Fotiou, Pengarah di Pejabat Matlamat Pembangunan Mampan FAO, memberi amaran bahawa sistem makanan di Gaza kini mengalami kemusnahan yang belum pernah berlaku akibat perang. Beliau berkata antara 78% hingga 91% kawasan pertanian, ladang dan rumah hijau telah rosak, sekali gus menjejaskan pengeluaran makanan tempatan yang dahulunya menjadi tunjang keselamatan makanan di wilayah tersebut.

Dalam satu temu bual bersama Al Jazeera sempena Sidang Kemuncak Dunia bagi Pembangunan Sosial di Doha, Fotiou menyatakan bahawa kira-kira 37% daripada tanah yang rosak masih boleh dipulihkan — satu peluang penting untuk segera memulakan semula pembinaan semula sistem makanan dan memastikan kelestarian rantaian bekalan di Gaza.

Beliau menegaskan bahawa memastikan aliran berterusan bantuan kemanusiaan, makanan dan bahan api ke wilayah itu adalah keutamaan utama. Beliau turut menggesa agar semua lintasan sempadan dibuka sepenuhnya serta diwujudkan keadaan yang sesuai bagi menjamin penghantaran secara tetap, supaya organisasi kemanusiaan dapat beroperasi tanpa gangguan.

Fotiou menjelaskan bahawa bantuan yang kini sampai ke Gaza tidak memenuhi keperluan sebenar dan tidak menepati kuantiti serta jenis yang telah dipersetujui. Bantuan yang dihantar kebanyakannya terdiri daripada makanan berasaskan karbohidrat dan produk diproses, manakala makanan berprotein seperti daging dan ikan masih diharamkan. Keadaan ini memburukkan lagi krisis kekurangan zat makanan dan mengancam kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan yang sakit.

PBB melalui Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) kini bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membangunkan pelan pemulihan sistem makanan pasca perang. Namun, usaha ini berdepan kekurangan dana yang serius.

FAO telah melancarkan rayuan antarabangsa bagi mendapatkan dana sebanyak USD 75 juta untuk menyokong pelan pemulihan tahun 2025, tetapi kurang daripada 10% jumlah yang diperlukan berjaya dikumpul setakat ini. Kekurangan dana ini menjejaskan pelaksanaan program bagi memulihkan pengeluaran makanan tempatan dan menyokong kelangsungan hidup para petani.

Fotiou menutup kenyataannya dengan menekankan bahawa menampung kekurangan dana ini amat penting bagi memulakan fasa baharu pemulihan pertanian di Gaza. Penggandaan sumber yang ada akan mempercepatkan projek bantuan dan pembinaan semula, serta memastikan kelestarian jangka panjang sistem makanan di salah satu wilayah paling terjejas di dunia.

Penterjemah : Ezatul