
Isnin, 10/11/2025 – Agensi UN memaklumkan bahawa lebih kurang 75000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal masih berlindung di 100 buah bangunan di bawah tanggungjawap UNRWA yang sesak dan juga mengalami kerosakan.
Menurut UNRWA, situasi di penempatan perlindungan ini semakin parah disebabkan berhadapan dengan masalah kekurangan air, makanan dan bahan asas yang kronik.
Di kenyataan sosial media sebelum ini, UNRWA telah memberikan amaran juga tentang keadaan kesihatan yang merosot dan penularan penyakit disebabkan oleh situasi kesesakan dan sanitasi yang buruk.
UNRWA menegaskan bahawa pasukannya masih terus beroperasi walaupun dengan kemampuan sumber yang terhad untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Pasukan UNRWA sentiasa bertungkus lumus memberikan bantuan sokongan setiap hari untuk menyediakan bekalan air, sanitasi, pengurusan sampah dan kebersihan supaya penempatan perlindungan sentiasa selamat dan menjaga maruah kemanusiaan mangsa yang berlindung di sini.
UNRWA menyeru komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan perlindungan dan keselamatan orang awam dan menangani situasi kemanusiaan yang semakin parah di Gaza. Sejak permulaan serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, UNRWA telah bergelut dengan krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarahnya.
Sekolah dan pusat kesihatan telah diubah menjadi tempat perlindungan yang sesak, menempatkan puluhan ribu mangsa genosid yang dipindahkan di tengah-tengah suasana kemusnahan yang meluas dan sistem perkhidmatan awam yang rosak.
Penterjemah : Hj Fariz