
Khamis, 20/11/2025 – Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir Al-Bursh, melaporkan peningkatan mendadak kes anemia dalam kalangan kanak-kanak, dengan 82% bayi berusia bawah satu tahun kini menghidap penyakit tersebut. Beliau menyifatkan angka itu sebagai “amat membimbangkan” dan mencerminkan kemerosotan serius sektor kesihatan akibat sekatan dan serangan berterusan Israel.
Dr. Al-Bursh mendakwa bahawa pendudukan Israel sedang merancang bentuk genosid dan pemusnahan kesihatan yang bertujuan “menghapuskan keturunan Palestin.” Beliau memberi amaran bahawa kekurangan nutrisi dan ubat-ubatan berpotensi melahirkan generasi yang mengalami pelbagai kecacatan, dengan 156 kes kecacatan kelahiran telah direkodkan sejak perang bermula.
Menurut beliau, Israel terus menghalang kemasukan ubat-ubatan penting bagi program kesihatan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan risiko terhadap perkembangan dan kelangsungan hidup mereka. Kementerian turut mencatatkan penurunan 40% kadar kelahiran berbanding sebelum perang, mencerminkan tekanan besar terhadap ibu hamil dan sistem kesihatan yang hampir lumpuh.
Krisis kesihatan di Gaza berlaku ketika perang Israel berlarutan sejak 7 Oktober 2023, disokong Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah. Serangan tersebut telah menyebabkan kemusnahan besar, kebuluran, pemindahan paksa, serta penahanan berterusan, meskipun terdapat gesaan antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa supaya tindakan genosid dihentikan.
Data rasmi Palestin menunjukkan lebih 239,000 korban, majoritinya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 11,000 individu yang masih hilang. Gaza turut berdepan krisis kebuluran yang meragut nyawa kanak-kanak, di samping ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan hampir keseluruhan kawasan perumahan.
Pegawai kesihatan tersebut menegaskan bahawa krisis anemia hanyalah satu aspek daripada keruntuhan menyeluruh sistem kesihatan Gaza, dan menyeru campur tangan segera masyarakat antarabangsa sebelum keadaan terus merosot serta memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang.
Penterjemah : Ezatul