Categories
Berita Semasa

Pertahanan Awam menemui rangka mayat 14 syuhada di kem Al-Maghazi

Isnin, 01/12/2025 – Anggota Pertahanan Awam di Semenanjung Gaza pada Isnin telah menemukan rangka 14 rakyat Palestin yang terkorban selepas tertimbus di bawah runtuhan dua buah rumah yang musnah akibat serangan udara oleh tentera penjajah Israel sepanjang dua tahun pembunuhan beramai-ramai di Kem Maghazi, di bahagian tengah Gaza. Penemuan tersebut dibuat selepas berjam-jam usaha pencarian berterusan dalam keadaan yang amat sukar.

Menurut sumber perubatan, pasukan penyelamat berjaya mencapai sisa-sisa jasad yang tertimbus di bawah runtuhan, dan mendapati bahawa lapan mangsa adalah daripada keluarga Abu Hamdah, manakala enam lagi daripada keluarga al-Haj Yusuf. Kejadian ini sekali lagi menggambarkan tahap kemusnahan besar yang ditinggalkan oleh siri serangan Israel ke atas kem tersebut.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa pasukan ambulans dan Pertahanan Awam masih berusaha mencapai ribuan lagi mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah ratusan rumah yang musnah, meskipun berdepan kekurangan peralatan dan jentera berat, khususnya jentolak dan penggali yang diperlukan untuk mengalihkan runtuhan.

Penterjemah : Farah Najwa