
Selasa, 25/11/2025 – Pertubuhan masyarakat sivil Palestin berkata pada hari Khamis bahawa tentera penceroboh Zionis Israel telah membunuh lebih 19,000 kanak-kanak dan mencederakan 28,000 yang lain sejak 7 Oktober 2023, angka yang mereka sifatkan sebagai yang tertinggi dalam sejarah konflik moden yang melibatkan kanak-kanak
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jaringan NGO Palestin sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 20 November. Rangkaian itu menyatakan bahawa peringatan tahun ini diadakan ketika kanak-kanak Palestin menghadapi apa yang dipanggil “malapetaka kemanusiaan terburuk yang dilakukan terhadap kehidupan kanak-kanak.”
Rangkaian itu berkata bahawa statistik rasmi mendedahkan tahap kemusnahan yang meluas terhadap persekitaran pendidikan, dengan beratus-ratus sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di Semenanjung Gaza musnah sepenuhnya atau sebahagian. Ia turut mendokumentasikan kehadiran lebih 56,000 kanak-kanak yatim piatu yang kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa.
Penterjemah : Hairul