Categories
Berita Semasa

Serangan Penjajah Haram Ke Atas Telaga Air Di Timur Ramallah Memutuskan Bekalan Ke Bandar-bandar Palestin

Rabu, 03/12/2025 – Serangan peneroka haram semakin meningkat di pelbagai kawasan di Tebing Barat. Satu serangan peneroka haram ke atas telaga air di timur Ramallah pada petang Ahad telah menyebabkan bekalan air terputus ke beberapa bandar Palestin.

Pihak Berkuasa Air Jerusalem yang bertanggungjawab membekalkan air ke kawasan Ramallah  melaporkan bahawa sekumpulan peneroka haram menyerang telaga nombor 6 di kawasan Ein Samia, timur Kafr Malik, menyebabkan pengepaman terhenti sepenuhnya. 

Beliau menegaskan bahawa kerosakan telaga itu mengancam sumber air utama bagi komuniti yang terletak di timur Ramallah, sambil menekankan bahawa gangguan itu berpunca daripada serangan tersebut manakala kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan untuk menyambung semula pengepaman secepat mungkin.

Sejak 7 Oktober 2023, negara penjajah, dengan sokongan Amerika dan Eropah, telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, termasuk pembunuhan, ancaman kebuluran, pemusnahan penempatan, pemindahan dan penangkapan. Pihak penjajah turut mengabaikan seruan dan perintah antarabangsa daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikan peperangan.

Pembunuhan beramai-ramai yang berlarutan menyebabkan lebih 239,000 rakyat Palestin mati atau cedera, di mana kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita. Lebih 11,000 penduduk pula dilaporkan hilang, selain ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan diancam kebuluran yang meragut nyawa di mana kebanyakannya adalah mangsa kanak-kanak.  Kemusnahan yang meluas dan pemusnahan sebahagian besar bandar di Semenanjung Gaza juga berterusan.

Penterjemah : Halimah