Categories
Berita Semasa

Israel Keluar Perintah Roboh Baharu Terhadap Sekolah dan Kediaman di Yatta

Khamis, 04/12/2025 – Israel telah memperhebat tindakan perobohan di Tebing Barat dengan mengeluarkan satu perintah roboh pada petang Isnin terhadap Sekolah Khillet Amira, yang terletak di kawasan Abu Shaban di timur Yatta, selatan al-Khalil. Tindakan ini menjejaskan serta mengancam akses pendidikan bagi puluhan kanak-kanak.

Aktivis anti-penempatan, Osama Makhamreh berkata sekolah yang menjadi sasaran tersebut terdiri daripada lapan buah karavan yang menempatkan 54 orang murid dari peringkat tadika hingga Tahun Empat. Beliau turut menyatakan bahawa ini merupakan kali kedua sekolah berkenaan disasarkan, selepas satu perintah henti kerja dikeluarkan
pada tahun lalu.

Israel juga dilaporkan terus meningkatkan tekanan terhadap penduduk tempatan dengan mengeluarkan notis henti kerja ke atas kediaman milik Musa Mahmoud Imar di kawasan Irfaiya, timur Yatta. Rumah berkeluasan 180 meter persegi itu menempatkan enam penghuni.Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi penduduk, Naif Bassam Al-Amour, turut menerima notis perobohan bagi kediamannya yang berkeluasan 170 meter persegi.

Penterjemah : Neina