Categories
Berita Semasa

Serbuan dan tangkapan Israel meningkat di seluruh Tebing Barat

Rabu, 14/01/2026 – Pasukan pendudukan Israel meningkatkan serbuan dan operasi ketenteraan mereka pada petang Isnin di beberapa bandar dan pekan di seluruh Tebing Barat. Pencerobohan ketenteraan ini melibatkan serbuan ke rumah-rumah, tangkapan, serta sekatan pergerakan.

Di Baitulmaqdis yang diduduki, pasukan besar Israel menyerbu kem pelarian Shuafat dan dikerahkan di jalan-jalan serta kawasan kejiranannya, sambil melepaskan bom bunyi dan gas pemedih mata. Sumber tempatan melaporkan serbuan ke atas rumah-rumah dan serangan fizikal terhadap penduduk, sekali gus mencetuskan ketegangan meluas, walaupun tiada kecederaan atau tangkapan disahkan pada waktu laporan dibuat. Serbuan seperti ini kerap berlaku sebagai sebahagian daripada dasar tekanan yang lebih luas terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis.

Di utara Ramallah, pasukan Israel merosakkan beberapa kenderaan, termasuk sebuah ambulans, di sekatan tentera Ein Siniya. Pasukan Israel dilaporkan meletakkan “jalur paku” di hadapan sebuah ambulans milik majlis perbandaran, menyebabkan tayarnya bocor dan turut merosakkan kenderaan lain yang melalui laluan sama. Mereka juga menutup sekatan Atara, mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Penterjemah : Norshuhada Samudin