
Selasa, 13/01/2026 – Sembilan rakyat Palestin syahid pada hari Khamis dalam satu siri pelanggaran Zionis terhadap perjanjian gencatan senjata yang rapuh, termasuk serangan udara, tembakan artileri, dan tembakan dari kenderaan tentera yang menyasarkan pelbagai kawasan di seluruh Semenanjung Gaza yang dikepung.
Sumber perubatan mengesahkan bahawa seorang syahid dan yang lain cedera selepas serangan Zionis mengenai sebuah khemah yang melindungi orang-orang terlantar di barat Menara Faisal, barat laut Deir al-Balah di tengah Gaza.
Kemudian pada waktu petang, sumber tempatan melaporkan pembunuhan Kamal Abdulrahman Awad, 43, dan tiga kecederaan, seorang kritikal, dalam serangan udara Zionis di kawasan Al-Atatra di Al-Mawasi, Khan Yunis.
Satu lagi sumber tempatan melaporkan bahawa Ibrahim Subuh syahid apabila pasukan Zionis mengebom Sekolah Abu Hussein, yang menempatkan keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal di utara Gaza.
Terdahulu, sumber perubatan mengatakan empat rakyat Palestin syahid dan yang lain cedera dalam serangan dron berani mati yang menyasarkan khemah penempatan pelarian di Jalan 5 di Al-Mawasi, Khan Yunis.
Seorang lagi rakyat Palestin syahid akibat tembakan dron Zionis berhampiran bulatan Bani Suheila, timur Khan Yunis.
Kemudian pada sebelah petang, pesawat perang Zionis melancarkan dua lagi serangan udara ke atas Al-Atatra di Al-Mawasi, Khan Yunis.
Terdahulu pada hari itu, seorang kanak-kanak Palestin telah ditembak dan syahid oleh tentera Zionis di utara Gaza. Sumber tempatan mengesahkan kanak-kanak itu, Hamsa Nidal Houso, 11, telah ditembak mati oleh tembakan Zionis di kawasan Fallujah, barat kem Jabalia.
Beberapa orang awam juga cedera apabila pasukan Zionis mengebom Sekolah Abu Hussein di kem Jabalia.
Pasukan pertahanan awam melaporkan seorang kanak-kanak cedera akibat tembakan Zionis di kawasan kejiranan Al-Zaytoun, tenggara Bandar Gaza, semasa pengeboman berterusan di kawasan perumahan dan kem penempatan.
Pengeboman artileri Zionis berterusan sejak subuh di seluruh timur Gaza, termasuk di sekitar Tel Al-Akhdar, timur kem Al-Bureij.
Sumber tempatan berkata kereta kebal dan helikopter Zionis melepaskan tembakan ke kawasan timur Al-Bureij.
Pasukan Zionis juga melepaskan tembakan berat dan melepaskan tembakan peluru asap berhampiran Jalan Kissufim, timur Deir al-Balah.
Bot tentera laut Zionis melepaskan tembakan di pantai Rafah di selatan Gaza.
Pesawat perang Zionis melancarkan dua serangan udara awal Khamis yang menyasarkan timur Bandar Gaza, dan dua lagi di utara, di samping tembakan darat yang kuat dari kenderaan tentera ke arah kawasan kejiranan timur bandar itu.
Kemudian, pesawat Zionis melancarkan serangan berhampiran Hospital Hamad di barat laut Bandar Gaza, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Kereta kebal juga melepaskan tembakan ke arah kawasan timur dan selatan Khan Yunis.
Malam tadi, sekurang-kurangnya dua orang syahid dan yang lain cedera dalam serangan udara Zionis ke atas sebuah rumah yang didiami milik keluarga Al-Alwan di kawasan kejiranan Al-Tuffah, timur Bandar Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan bahawa, sehingga Khamis, jumlah kematian akibat pembunuhan beramai-ramai Zionis sejak 7 Oktober 2023, telah meningkat kepada 71,395 syahid manakala 171,287 yang lain cedera.
Menurut kementerian itu, sejak gencatan senjata diisytiharkan pada 11 Oktober 2025, Zionis telah membunuh 425 rakyat Palestin dan mencederakan 1,206 yang lain dalam pelanggaran gencatan senjata.
Penterjemah : Ameen