
Rabu, 28/01/2026 –Para patriark dan ketua-ketua gereja di Palestin menegaskan penolakan tegas terhadap ideologi “Zionisme Kristian”, yang disifatkan hanya menguntungkan kepentingan pendudukan Israel serta mengancam kelangsungan kewujudan komuniti Kristian di Tanah Suci.
Dalam satu kenyataan media, mereka menegaskan bahawa perwakilan umat Kristian di Palestin dan Tanah Suci merupakan tanggungjawab eksklusif gereja-gereja bersejarah, dan memberi amaran terhadap individu atau inisiatif yang mendakwa mewakili agama Kristian di luar struktur rasmi gereja. Tindakan sedemikian disifatkan mengelirukan pendapat umum, menjejaskan perpaduan komuniti, serta melayani agenda politik yang memudaratkan kehadiran Kristian di Jerusalem dan wilayah sekitarnya.
Para pemimpin gereja turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap sokongan politik dan antarabangsa yang diberikan kepada individu-individu tersebut, yang dianggap sebagai campur tangan dalam urusan dalaman gereja serta penafian terhadap autoriti pastoral gereja-gereja apostolik yang telah memikul tanggungjawab ini sejak berabad-abad lamanya.
Kenyataan itu menegaskan bahawa hanya para patriark dan ketua gereja mempunyai mandat sah untuk mewakili komuniti Kristian dalam perkara keagamaan, sosial, dan pastoral di Tanah Suci.
Penterjemah : Ezatul