Categories
Berita Semasa

Pencabulan Hak Wartawan Palestin Oleh Israel Semakin Meningkat Pada Januari

Jumaat, 13/02/2026 – Persatuan Wartawan Palestin mencatatkan peningkatan ketara pencabulan Israel terhadap hak wartawan Palestin sepanjang Januari.

Menurut dokumentasi yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kebebasan Kesatuan Sekerja, pelanggaran terdiri daripada pembunuhan, penangkapan, tembakan, ancaman dengan senjata, penahanan, dan pencegahan liputan, selain serangan fizikal, penyasaran institusi media, dan rampasan peralatan kewartawanan.

Pada bulan yang sama, tujuh wartawan direkodkan telah ditangkap oleh Israel, dimana sebahagian daripadanya telah dipindahkan ke tahanan pentadbiran, manakala empat lagi menghadapi perbicaraan yang disifatkan sebagai tidak adil. Kejadian ini dianggap sebagai rangka menyekat kerja kewartawanan dan liputan.

Laporan tersebut juga menyatakan 42 kes penahanan dan halangan kerja kewartawanan, jumlah tertinggi di antara semua pelanggaran. Menurut Jawatankuasa Kebebasan, ini mencerminkan dasar sistematik yang bertujuan menyekat liputan lapangan, terutamanya semasa pencerobohan tentera.

 Jawatankuasa itu turut menyebut lagi 21 kejadian di mana tentera penjajah Israel melepaskan bom tangan dan gas pemedih mata ke arah wartawan, mengakibatkan beberapa kes sesak nafas.

 Dalam perkembangan lain, jawatankuasa itu turut merekodkan tiga kes wartawan diserang secara langsung, selain tujuh kes rampasan dan pemusnahan peralatan kewartawanan. Sekali lagi ia adalah jelas merupakan cubaan menghalang laporan kebenaran dan menghalang dokumentasi tentang penjajah.

Laporan itu juga di dalam perenggan yang lain, melaporkan empat serangan peneroka haram Israel terhadap wartawan, termasuk menghalang liputan, menghalang kerja, dan cuba mencuri peralatan penggambaran, dan ironinya, krew media kekal tidak dilindungi sepenuhnya. Dua saluran media juga dilaporkan ditutup sebagai sebahagian daripada dasar menyekat akses media, manakala wartawan didenda untuk meningkatkan tekanan ekonomi dan undang-undang ke atas mereka.

Dalam konteks ini, ketua Jawatankuasa Kebebasan di Persatuan Wartawan Palestin, Muhammad al-Lahham, menegaskan bahawa jenayah penjajah Israel terhadap wartawan mencerminkan peningkatan berbahaya dan sistematik dalam pelanggaran, sama ada melalui sasaran langsung, penindasan lapangan, atau sekatan undang-undang dan pentadbiran.

 Al-Lahham menegaskan bahawa fakta ini mengesahkan persekitaran berbahaya yang berterusan terhadap wartawan Palestin ketika mereka beroperasi, bertujuan memberi tekanan demi tekanan terhadap wartawan agar berita-berita besar dari lapangan dapat dihalang dari terus dilaporkan.

Pusat Pembangunan dan Kebebasan Media Palestin (MADA) pula merekodkan sejumlah 69 pelanggaran yang dilakukan oleh penjajah Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pada bulan pertama 2026.

Pusat MADA juga menjelaskan dalam laporannya bahawa jumlah pelanggaran yang direkodkan sepanjang Januari meningkat berbanding Disember 2025, yang menyaksikan 60 pelanggaran, mewakili peningkatan 15%. Pelanggaran tersebut merangkumi 64 di Tebing Barat dan lima di Semenanjung Gaza.

Penterjemah : Halimah