
Jumaat, 13/02/2026 – Pejabat Media Kerajaan Gaza (GMO) melaporkan pada hari Isnin bahawa hanya 397 orang daripada 1,600 penumpang yang dijangka telah berjaya melintasi pintu sempadan Rafah sejak ia dibuka semula pada 2 Februari lalu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu laporan yang merangkumi rekod ketibaan dan pelepasan rakyat Palestin melalui lintasan tersebut bagi tempoh Isnin, 2 Februari hingga Isnin, 9 Februari 2026.
Menurut laporan berkenaan, seramai 225 penumpang telah dibenarkan keluar sepanjang tempoh tersebut, dengan majoriti daripada mereka berlepas bagi mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
Sebaliknya, rekod ketibaan menunjukkan hanya 172 orang awam kembali ke Semenanjung Gaza dalam tempoh yang sama.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa 26 penumpang telah dinafikan kebenaran melintas dan diarahkan pulang tanpa sebarang alasan dinyatakan. Selain itu, lintasan Rafah juga ditutup sepenuhnya kepada pergerakan penumpang pada hari Jumaat dan Sabtu.
Penterjemah : Ezatul