
Jumaat, 27/02/2026 – Tentera Israel telah mengeluarkan arahan perobohan terhadap 23 struktur kediaman dan pertanian di bandar Abu Dis, yang terletak di tenggara Baitulmaqdis Timur yang diduduki, dalam satu tindakan yang dilihat sebagai peningkatan baharu menyasarkan kehadiran rakyat Palestin di sekitar bandar tersebut.
Pasukan Israel menyerbu bandar itu bersama petugas daripada apa yang dikenali sebagai “Pentadbiran Awam”, memasuki beberapa kawasan sebelum menyerahkan notis perobohan kepada beberapa rumah yang masih didiami serta kemudahan pertanian, dengan alasan pembinaan dilakukan tanpa permit.
Tindakan ini merupakan sebahagian daripada dasar perobohan yang lebih meluas dan sistematik, yang semakin dipergiatkan oleh pihak berkuasa Israel di bandar dan kawasan kejiranan sekitar Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Rejim permit yang amat ketat dilihat digunakan sebagai alat tekanan terhadap penduduk Palestin. Permit pembinaan jarang diberikan kepada rakyat Palestin, sedangkan peluasan penempatan terus dipercepatkan di sekitar bandar tersebut.
Abu Dis, sebuah bandar Palestin yang bersebelahan dengan Baitulmaqdis Timur yang diduduki, telah sekian lama berdepan pelbagai sekatan berterusan termasuk perobohan, arahan henti kerja, rampasan tanah serta pembinaan jalan penempatan. Faktor-faktor ini memburukkan lagi kesulitan penduduk dan menjejaskan prospek pembangunan bandar serta ekonomi.
Pemerhati menyatakan bahawa langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar yang lebih luas bertujuan mengubah realiti demografi di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan kawasan sekitarnya, dengan mengurangkan kehadiran rakyat Palestin serta mewujudkan fakta baharu di lapangan, dalam konteks peluasan penempatan yang berterusan di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Penterjemah : Ezatul