
Selasa, 03/03/2026 – Beberapa wilayah di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki menyaksikan gelombang baharu serangan terancang oleh peneroka yang menyasarkan orang awam Palestin serta harta benda mereka, khususnya di Lembah Jordan utara, Masafer Yatta, dan kawasan timur Ramallah serta Nablus.
Sumber tempatan melaporkan bahawa peneroka menyerang penduduk di Khirbet al-Hadidiya di Lembah Jordan utara, apabila kumpulan pelampau menyerbu keluarga-keluarga di kawasan itu dan memukul mereka. Serangan tersebut berlaku di hadapan tentera Israel yang didakwa memberi perlindungan kepada penyerang serta menghalang penduduk daripada mempertahankan diri.
Serangan turut merebak ke Khirbet al-Farisiya dan Hammamat al-Malih, di mana peneroka menggunakan semburan lada dan membaling batu ke arah keluarga-keluarga di situ. Seorang pemuda dilaporkan cedera di bahagian kaki, manakala beberapa rumah dan harta milik penggembala mengalami kerosakan sebahagian.
Di selatan al-Khalil, khususnya di kawasan al-Khaldiya berhampiran perkampungan Susiya, peneroka melancarkan serangan ganas terhadap kediaman penduduk Palestin. Aktivis media, Osama Makhamra, berkata peneroka melepaskan tembakan secara langsung ke arah penduduk serta memukul mereka dengan teruk.
Selepas insiden itu, tentera Israel menahan empat anggota keluarga al-Nawaj’ah.
Di wilayah Ramallah, seorang lelaki Palestin mengalami kecederaan dan lebam selepas diserang peneroka di kampung Rammun. Penduduk turut melaporkan bahawa peneroka merampas ternakan, namun haiwan tersebut berjaya dirampas semula oleh penduduk selepas berlaku pergelutan di kawasan Wadi al-Ain.
Di Duma, selatan Nablus, serangan peneroka menyebabkan Ali Zawahreh cedera, manakala tentera Israel menahan empat lagi pemuda dan menghalang pasukan perubatan daripada memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera.
Sementara itu, di sekitar Masjid al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis yang diduduki, pihak berkuasa Israel terus mengenakan sekatan ketenteraan bagi memudahkan pencerobohan peneroka ke kawasan tersebut.
Di Bethlehem pula, peneroka menyerbu pekan Za’tara di timur bandar itu dan menaikkan bendera Israel pada penghadang konkrit di kawasan al-Malha, dalam tindakan yang disifatkan penduduk sebagai satu provokasi.
Penterjemah : Ezatul