Categories
Berita Semasa

Gaza: Hospital memerlukan minyak dan alat ganti untuk mengoperasikan penjana elektrik

Rabu, 01/04/2026 – Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran bahawa perkhidmatan hospital berdepan risiko lumpuh dalam masa terdekat berikutan kekurangan serius bekalan minyak dan alat ganti untuk penjana elektrik, yang boleh menyebabkan operasi terhenti sepenuhnya.

Dalam satu sidang media pada hari Ahad, seorang pegawai kesihatan memaklumkan bahawa sebanyak 90 penjana tidak lagi berfungsi, 38 penjana beroperasi dengan bekalan minyak yang terhad, manakala 11 lagi memerlukan penyelenggaraan segera.

Menurut kementerian tersebut, hospital di Gaza masih sangat bergantung kepada penjana elektrik berikutan gangguan bekalan elektrik yang berterusan.

Kementerian itu menegaskan bahawa kegagalan penjana akan memberi kesan langsung kepada jabatan-jabatan kritikal hospital, terutamanya unit rawatan rapi (ICU), wad neonatal, dan unit dialisis. Keadaan ini mengancam nyawa pesakit serta memburukkan lagi situasi kesihatan yang sedia kritikal di fasiliti perubatan.

Selain itu, gangguan bekalan elektrik, turun naik voltan, serta kebergantungan kepada sumber tenaga yang tidak stabil turut menyebabkan kerosakan ubat-ubatan sensitif, vaksin, dan bekalan darah, di samping menjejaskan fungsi peralatan perubatan berketepatan tinggi.

“Prosedur pembedahan kini terhad kepada kes kecemasan sahaja kerana kapasiti operasi hospital semakin merosot. Keadaan ini meningkatkan penderitaan pesakit dan melambatkan penyampaian rawatan perubatan penting,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kementerian tersebut turut merayu kepada organisasi kemanusiaan, hak asasi, dan kesihatan agar segera campur tangan dengan menyalurkan bekalan minyak dan alat ganti bagi memastikan penjana hospital terus berfungsi.

Penterjemah : Ezatul