
Khamis, 02/04/2026 – Sekumpulan peneroka haram Yahudi memasang rumah bergerak (karavan) di tanah Palestin di kampung Bireen, tenggara al-Khalil di selatan Tebing Barat.
Farid Barqan, ketua kampung Bireen, berkata peneroka haram menubuhkan karavan dengan tujuan untuk meluaskan pos kawalan “Mitzpe Ziv” atas tanah dan harta penduduk Palestin.
Peneroka haram di Tebing Barat yang diduduki telah melakukan 443 serangan dalam sebulan sejak tercetusnya perang Iran, mengambil kesempatan daripada situasi tersebut untuk meningkatkan serangan mereka ke atas kampung dan komuniti Palestin.
Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan dalam laporan yang dikeluarkan pada hari Sabtu, serangan-serangan ini termasuk tembakan secara langsung, pembakaran rumah dan harta benda, dan pengenaan fakta baharu di lapangan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengubah realiti geografi dan demografi di Tebing Barat.
Laporan itu menunjukkan bahawa serangan tertumpu di wilayah-wilayah Nablus (108 serangan), al-Khalil (99), Ramallah (76), Bethlehem (32), Jerusalem yang Diduduki (24), dan Salfit (23), selain Jericho dan Qalqilya.
Ia menambah bahawa gelombang serangan itu telah menyebabkan enam komuniti Badwi terpaksa berpindah, yang menjejaskan 58 keluarga yang terdiri daripada 256 individu, termasuk 79 wanita dan 166 kanak-kanak, akibat keganasan dan ancaman peneroka haram.
Penterjemah : Ameen