Categories
Berita Semasa

UNRWA: Perkhidmatan kepada pelarian Palestin dikurangkan sebanyak 20%

Rabu, 08/04/2026 – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan bahawa perkhidmatan kepada pelarian Palestin telah dikurangkan sebanyak 20% akibat tekanan politik dan ekonomi. Agensi itu turut memberi amaran bahawa krisis kewangan yang semakin meruncing boleh menjejaskan keupayaannya untuk meneruskan mandat kemanusiaan.

Pengarah Komunikasi UNRWA, Jonathan Fowler, dalam kenyataan media berkata agensi tersebut kini menjadi sasaran kempen memburukkan imej yang bertujuan melemahkan peranannya serta merosakkan reputasi.

Beliau menambah bahawa prinsip undang-undang antarabangsa kini semakin terhakis, malah pelanggaran yang berlaku tidak lagi disertai usaha untuk memberikan justifikasi seperti sebelum ini.

“Dahulu, apabila undang-undang antarabangsa dilanggar, masih ada rasa segan atau cubaan untuk menafikan pelanggaran tersebut. Kini, kita berdepan dengan situasi di mana ada pihak secara terbuka menyatakan bahawa undang-undang antarabangsa tidak lagi relevan bagi mereka dan tidak perlu dipatuhi.”

Beliau turut menyatakan bahawa tindakan merampas dan merobohkan pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur oleh pihak berkuasa Israel pada Januari lalu merupakan antara contoh paling jelas pelanggaran tersebut.

Menurut Fowler, tindakan itu jelas melanggar undang-undang kerana UNRWA merupakan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Justeru, sebarang serangan terhadap kemudahannya dianggap sebagai serangan terhadap premis PBB. Tambahan pula, Baitulmaqdis Timur diklasifikasikan sebagai wilayah yang diduduki menurut undang-undang antarabangsa.

Beliau juga menjelaskan bahawa UNRWA kini berdepan krisis kewangan yang serius, terutamanya kerana kebergantungan kepada sumbangan sukarela yang menjadikan sumber kewangan agensi ini mudah terjejas oleh perubahan politik.

Ketika ini, menurut beliau, UNRWA mengalami defisit tunai sekitar AS$100 juta, memaksa pengurangan perkhidmatan sebanyak 20%, termasuk dalam sektor pendidikan, kesihatan, dan sanitasi.

Beliau menegaskan bahawa keadaan kerja di wilayah Palestin kini “lebih berbahaya berbanding sebelumnya,” sambil memaklumkan bahawa kira-kira 400 kakitangan UNRWA telah terkorban di Semenanjung Gaza.

Penterjemah : Ezatul