Categories
Berita Semasa

Kebebasan ketenteraan?Rejim Zionis beli senjata dari pembekal tempatan.

Selasa, 28/04/2026 – Kementerian Pertahanan Israel mengumumkan pada hari Khamis bahawa ia telah memuktamadkan perjanjian baharu untuk memperkukuh apa yang digambarkannya sebagai “kebebasan senjata” dengan membeli peluru udara daripada syarikat tempatan Elbit Systems, bernilai lebih daripada 600 juta shekel.

Kementerian itu menjelaskan bahawa perjanjian itu dibuat sebagai sebahagian daripada persediaan untuk senario pertempuran segera, dan dalam konteks apa yang digambarkannya sebagai kontrak keselamatan intensif, dengan menyatakan bahawa Direktorat Perolehan Pertahanan telah mengeluarkan permintaan berbilang tahun untuk bekalan peluru yang dilancarkan melalui udara yang dihasilkan oleh syarikat Israel itu.

Trend ini berlaku di tengah-tengah peningkatan seruan antarabangsa untuk embargo ketenteraan ke atas Israel, yang telah diterjemahkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini kepada keputusan oleh beberapa negara, termasuk Kanada, Itali dan Sepanyol, untuk menghentikan atau menggantung lesen eksport senjata, selain sekatan yang dikenakan oleh Britain dan Jerman ke atas penghantaran tertentu.

Para pemerhati percaya bahawa tindakan Kementerian Pertahanan Israel kepada syarikat-syarikat pembuatan tempatan merupakan percubaan proaktif untuk mengurangkan kebergantungan pada rantaian bekalan asing dan mengelakkan senario kekurangan peluru sekiranya berlaku boikot tentera antarabangsa yang diperluas.

Walaupun terdapat trend ini, Israel masih banyak bergantung kepada pembekal senjata asing, menduduki tempat ke-15 di peringkat global dalam import senjata dan mewakili kira-kira 2% daripada jumlah import senjata global.

Amerika Syarikat merupakan pembekal terbesar Israel, membekalkan 69% daripada import ketenteraannya, diikuti oleh Jerman pada 30%, kemudian Itali pada kira-kira 0.9%, bersama-sama dengan pembekal lain dengan peratusan yang lebih rendah, seperti Britain, Perancis dan Sepanyol.

Penterjemah : Juhari