
Jumaat, 08/05/2026 – Pegawai kanan Hamas, Abdulrahman Shadid mengumumkan bahawa Pergerakan itu bersedia untuk memasuki fasa kedua rundingan, menekankan bahawa kemajuan bergantung pada Zionis. Hamas menunjukkan komitmen tulen untuk melaksanakan terma-terma fasa pertama perjanjian itu.
Dalam satu kenyataan akhbar pada hari Ahad, Shadid berkata respons oleh puak penentang Palestin mencerminkan “tanggungjawab dan fleksibiliti negara” sebagai penghargaan terhadap usaha pengantaraan. Beliau menekankan bahawa Hamas tidak menetapkan sebarang prasyarat baharu untuk memasuki rundingan fasa kedua melebihi apa yang telah dipersetujui.
Beliau menyatakan bahawa untuk meneruskan langkah seterusnya, Zionis perlu menghentikan pembunuhan harian di Semenanjung Gaza, membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah itu, dan membenarkan rakyat Palestin yang cedera keluar melalui lintasan Rafah selaras dengan perjanjian Sharm el-Sheikh.
Shadid mempersoalkan komitmen Zionis memasuki fasa kedua yang terus melanggar fasa pertama melalui pembunuhan berterusan, dasar kebuluran dan menghalang mereka yang cedera daripada menerima rawatan.
Berkenaan isu senjata, beliau menekankan bahawa senjata adalah hak asasi rakyat Palestin dan tidak boleh dilepaskan sementara dasar penjajahan Zionis diteruskan. Pada masa yang sama, beliau berkata puak-puak Palestin bersedia untuk menangani perkara itu dalam rangka kerja nasional bersatu yang melindungi hak politik Palestin.
Beliau menambah bahawa senjata penentangan digunakan untuk mempertahankan rakyat Palestin di bawah undang-undang antarabangsa, membezakannya dengan apa yang beliau sifatkan sebagai Zionis mempersenjatai peneroka haram yang melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Penterjemah : Ezatul