Categories
Berita Semasa

Amaran mengenai rancangan serbuan ke atas Masjid Al-Aqsa sempena ulang tahun pendudukan Baitulmaqdis

Selasa, 12/05/2026 – Amaran semakin memuncak di Baitulmaqdis berhubung rancangan kumpulan ekstremis Temple Mount untuk melancarkan serbuan yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Masjid Al-Aqsa pada Jumaat, 15 Mei, bertepatan dengan apa yang mereka gelar sebagai “ulang tahun Ibrani pendudukan Baitulmaqdis”. Situasi ini turut mencetuskan seruan meluas dalam kalangan rakyat Palestin agar meningkatkan kehadiran dan mempertahankan masjid tersebut.

Penyelidik hal ehwal Baitulmaqdis, Ziyad Ibhais, berkata bahaya tahun ini berpunca daripada tarikh tersebut yang jatuh pada hari Jumaat, hari di mana pencerobohan peneroka ke dalam kawasan Al-Aqsa lazimnya tidak dibenarkan. Menurut beliau, sebarang cubaan untuk mengubah status quo itu akan dianggap sebagai perkembangan yang amat berbahaya dan setara dengan satu bentuk serangan terhadap masjid berkenaan.

Dalam satu kenyataan media, Ibhais menjelaskan bahawa hari Jumaat di Masjid Al-Aqsa biasanya menyaksikan kehadiran puluhan ribu jemaah Palestin. Oleh itu, sebarang cubaan pencerobohan akan dianggap sebagai “pertempuran kedaulatan”, apabila pihak berkuasa Israel dilihat cuba mengenakan realiti baharu di dalam kawasan suci tersebut.

Penterjemah : Dr Nurul