
Selasa, 12/05/2026 – Pergerakan Hamas pada hari Ahad mengecam tindakan berterusan Israel yang menyasarkan anggota polis di Semenanjung Gaza, sambil menyatakan bahawa dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha sistematik untuk menggugat kestabilan sosial dan mencetuskan kekacauan.
Dalam satu kenyataan media, Hamas menyifatkan pembunuhan ketua bahagian siasatan polis Khan Yunis sebagai satu “tindakan pengecut dan jenayah,” serta menuduh Israel sengaja mensasarkan institusi kepolisan.
Menurut Hamas, serangan berterusan itu bertujuan mengekalkan keadaan tanpa undang-undang serta menggagalkan usaha memulihkan kehidupan normal dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk dalam situasi sukar di Gaza.
Pergerakan itu turut mendedahkan angka terkini korban akibat serangan Israel sejak perjanjian gencatan senjata terbaharu berkuat kuasa, dengan menyatakan bahawa lebih 850 rakyat Palestin telah terkorban sejak Oktober lalu.
Hamas sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya pihak pengantara dan pihak yang menjamin perjanjian tersebut, agar segera campur tangan untuk menghentikan serangan berterusan Israel serta berusaha menyediakan perlindungan antarabangsa dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Penterjemah : Ezatul