
Selasa, 19/05/2026 – Dalam antara kajian Arab yang paling terperinci mengenai cara “Israel” meneliti perubahan di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, satu kajian penyelidikan yang diterbitkan oleh Pusat Al-Zaytouna untuk Kajian dan Perundingan bertajuk “Pemantauan Israel terhadap Isu Jihadisme dalam Sistem Negara Syria” mendedahkan bagaimana isu “jihadisme” telah menjadi alat utama dalam pemikiran politik, keselamatan dan media Israel terhadap Syria baharu.
Kajian ilmiah yang disediakan oleh Ibrahim Abdul Karim itu memaparkan gambaran menyeluruh mengenai tahap pemantauan rapi Israel terhadap perkembangan politik, ketenteraan, agama dan pendidikan di Syria sejak Hayat Tahrir al-Sham mengambil alih pemerintahan pada Disember 2024. Menurut kajian tersebut, institusi-institusi Israel melihat “jihadisme Syria” sebagai kunci utama untuk memahami masa depan Syria, selain dijadikan asas dalam menentukan pendekatan strategik terhadap negara itu.
Kajian itu turut menyatakan bahawa wacana Israel tidak banyak berubah walaupun kerajaan Syria baharu menunjukkan beberapa isyarat pragmatik, termasuk rundingan keselamatan tidak langsung dan pengumuman berulang kali dari Damsyik bahawa mereka tidak mahu berkonfrontasi dengan Israel. Namun begitu, Tel Aviv masih melihat kepimpinan Syria baharu melalui “lensa jihadisme”, sambil berusaha meneliti struktur pemikiran dan ideologi mereka serta memantau kemungkinan perkembangan dan pengaruhnya pada masa depan.
Penterjemah : Farah Najwa