
Selasa, 19/05/2026 – Ribuan pendatang Israel menyertai perarakan “Flag March” yang bersifat provokatif pada petang Khamis di kawasan Pintu Damsyik, salah satu pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis yang diduduki, dengan kawalan ketat pihak polis Israel.
Perarakan tersebut turut dihadiri menteri dan ahli Knesset daripada gabungan pemerintah, termasuk Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, serta Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, selain pegawai kanan polis dan tentera Israel serta ahli Knesset lain yang berhaluan ekstrem.
Peserta perarakan mengibarkan bendera Israel dan membawa sepanduk dengan slogan berunsur perkauman yang menyeru kematian terhadap orang Arab, selain mengancam untuk membina “kuil yang didakwa” di tapak Masjid al-Aqsa. Mereka juga menyerang penduduk Palestin dan wartawan di lokasi dengan meludah, menghamburkan kata-kata kesat, serta menari sambil mengibarkan bendera.
Pasukan keselamatan Israel turut menempatkan penembak tepat di tembok Pintu Damsyik dan mengerahkan kehadiran besar-besaran di sekitar kawasan itu, termasuk jalan-jalan di Baitulmaqdis yang diduduki serta lorong-lorong Kota Lama, sehingga menjadikannya seolah-olah zon ketenteraan atas alasan mengawal keselamatan perarakan.
Polis Israel juga menghalang pergerakan bebas rakyat Palestin di Kota Lama dan memaksa peniaga menutup premis mereka, sambil memberikan perlindungan kepada pendatang.
Terdahulu pada hari yang sama, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, sekali lagi melakukan pencerobohan ke dalam kompleks Masjid al-Aqsa, bertepatan dengan sambutan yang dikenali Israel sebagai “Hari Baitulmaqdis” serta menjelang perarakan tahunan tersebut, yang diadakan bagi memperingati pendudukan Baitulmaqdis Timur pada tahun 1967 menurut kalendar Ibrani.
Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis memaklumkan bahawa seramai 1,412 pendatang telah menceroboh kawasan halaman Masjid al-Aqsa dalam sesi pagi dan petang, dalam keadaan sekatan ketat dikenakan oleh pihak Israel terhadap jemaah dan penduduk Baitulmaqdis secara umum.
Sebelum ini, Hamas menyatakan bahawa serangan oleh “pendudukan Zionis jenayah” dan pendatangnya, termasuk pencerobohan serta perarakan bendera di Baitulmaqdis yang diduduki dan Masjid al-Aqsa, merupakan cubaan gagal untuk mengubah identiti “tanah suci kami,” yang menurutnya akan kekal sebagai milik Palestin, Arab, dan Islam walaupun berdepan dasar peng-Yahudian Israel.
Dalam kenyataan pada hari Khamis, Hamas menegaskan bahawa “pendudukan pengganas” tidak akan berjaya, walau sejauh mana ia meningkatkan tindakan, pencerobohan, dan sekatan terhadap penduduk Baitulmaqdis serta para jemaah dalam usaha menghapuskan kedudukan dan simbolik Baitulmaqdis serta Masjid al-Aqsa di hati rakyat Palestin atau melemahkan tekad mereka untuk mempertahankan tempat suci tersebut.
Menurut Hamas, tindakan sedemikian hanya akan menguatkan lagi keazaman rakyat Palestin untuk terus bertahan dan melawan, sambil menyifatkan Masjid al-Aqsa sebagai “soal akidah, jati diri, dan sejarah yang berakar umbi dalam jiwa rakyat serta umat Arab dan Islam.”
Penterjemah : Ezatul