Categories
Berita Semasa

Mogok umum di seluruh Itali sebagai solidariti terhadap Floatilla Sumud

Jumaat, 22/05/2026 – Itali menyaksikan mogok umum berskala nasional pada hari Isnin yang menjejaskan sektor pengangkutan, pendidikan dan logistik, susulan seruan kesatuan pekerja yang membantah program persenjataan semula ketenteraan, menolak genosid berterusan Israel di Gaza, serta menyatakan solidariti terhadap “Flotila Global Sumud” yang sedang berusaha memecahkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza.

Mogok tersebut berlangsung serentak dengan demonstrasi di beberapa bandar di Itali di bawah slogan “Hentikan Segalanya” (“Stop Everything”), yang dianjurkan oleh kesatuan pekerja dan kumpulan masyarakat sivil bagi membantah peningkatan kos sara hidup, dasar ketenteraan, serta pertambahan perbelanjaan untuk senjata yang dianggap mengorbankan sektor kesihatan dan pendidikan. Para penunjuk perasaan juga menuntut agar dihentikan apa yang mereka sifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin serta menyatakan sokongan terhadap flotila yang menuju ke Gaza.

Di ibu negara, Rome, para penunjuk perasaan berhimpun di salah satu dataran utama bandar itu sambil membawa sepanduk yang menggesa kerajaan Itali agar tidak terus terlibat dalam apa yang mereka sebut sebagai “bersubahat dalam jenayah” bersama Israel.

Penterjemah : Norshuhada Samudin