
Selasa, 07/07/2026 – Platform “Al-Haris” yang dikaitkan dengan jentera keselamatan gerakan pertahanan di Semenanjung Gaza telah memberi amaran mengenai cubaan melampau kumpulan-kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pihak penjajah Israel. Kumpulan tersebut menyasarkan masyarakat Gaza bagi pengedaran dadah dan bahan-bahan yang mencurigakan.
Dalam satu kenyataan akhbar, pihak pengawal menegaskan bahawa kegiatan kumpulan-kumpulan ini yang berlindung disebalik nama keselamatan namun hakikatnya mereka sedang berusaha menggugat keselamatan masyarakat melalui penyeludupan narkotik. Kejadian ini merupakan satu lagi usaha untuk merosakkan minda golongan muda dan melemahkan struktur sosial masyarakat Gaza.
Kenyataan akhbar itu turut menambah bahawa tindakan mengeksploitasi kesukaran dan bebanan yang di hadapi masyarakat dengan menyeludup bahan-bahan tersebut merupakan satu jenayah terhadap rakyat Palestin. Tindakan mereka sekaligus mendedahkan peranan kumpulan-kumpulan ini dalam mencetuskan kekacauan dan merosakkan keutuhan barisan dalaman rakyat Gaza.
Platform itu turut menggesa rakyat untuk meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan mereka, serta terus berhati-hati terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan yang melibatkan promosi atau pengedaran narkotik mahupun bahan terlarang. Laporan perlu dibuat sekiranya mendapati sebarang tingkah laku atau pergerakan yang mencurigakan melalui saluran “Murasalat al-Haris”. Jurucakap pasukan sekali lagi menekankan bahawa melindungi masyarakat adalah tanggungjawab bersama dan pentingnya menghadapi alat dan taktik penjajahan bermula dengan kesedaran kendiri dan penolakan apa-apa yang mengancam keselamatan rakyat Palestin dan masa depan anak-anak mereka.
Sumber keselamatan di Semenanjung Gaza juga mendedahkan usaha untuk menyeludup sejumlah besar narkotik melalui laluan yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap yang juga dikenalpasti bekerjasama dengan penjajah. Walaupun penghantaran sebelum ini berjaya dirampas, manakala mereka yang terlibat juga telah pun ditahan dibawah undang-undang yang berkaitan namun tetap tidak menjamin halangan dapat dikekalkan.
Sumber tersebut menyatakan bahawa tindakan jenayah ini merupakan sebahagian daripada usaha dan instrumen pihak penjajah bagi menggugat keselamatan sekaligus merosakkan fabrik sosial masyarakat. Jurucakap turut berikrar bahawa agensi keselamatan itu akan terus berusaha menjejaki sesiapa sahaja yang cuba mengancam keselamatan dan kestabilan rakyatnya.
Penterjemah : Halimah