
Jumaat, 18/09/2026 – Gerakan Hamas memberi amaran terhadap pelanggaran yang semakin meningkat oleh pendatang haram Israel di Masjid Al-Aqsa, sambil menyifatkannya sebagai “cubaan untuk mengenakan realiti keagamaan baharu dan mengubah status quo sejarah serta perundangan Masjid Al-Aqsa.”
“Pihak berkuasa pendudukan Israel dan kumpulan Temple Mount menggunakan musim perayaan Yahudi untuk menganjurkan pencerobohan beramai-ramai oleh peneroka ke pekarangan Masjid Al-Aqsa, di mana upacara keagamaan secara berkumpulan dilakukan secara terbuka dengan kawalan polis serta sokongan politik daripada kerajaan Israel,” kata Hamas dalam satu kenyataan media pada Isnin.
“Apa yang berlaku bukan lagi sekadar siri lawatan terpencil oleh peneroka; sebaliknya, ia merupakan satu proses beransur-ansur yang bermula dengan peningkatan jumlah mereka yang memasuki kawasan suci tersebut, kemudian bergerak ke arah usaha untuk mewujudkan amalan sembahyang dan ritual Yahudi di dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa itu sendiri,” tambah Hamas.
Hamas menjelaskan bahawa pelanggaran oleh peneroka di kawasan suci tersebut termasuk melakukan sujud, meniup tanduk (shofar), menyanyi, menari, membaca teks keagamaan, serta membawa masuk simbol dan persembahan keagamaan.
Hamas memberi amaran bahawa pelaksanaan ritual sedemikian secara berulang di bawah perlindungan rasmi bertujuan untuk secara beransur-ansur mewujudkan realiti baharu di dalam Masjid Al-Aqsa.
Penterjemah : Norshuhada Samudin