
Isnin, 28/09/2026 – Sebanyak 57.4 peratus rakyat Palestin berhasrat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya yang bakal diadakan kelak, menurut dapatan tinjauan pendapat awam terbaharu yang dijalankan oleh Pusat Pembangunan Politik Vision. Tinjauan itu turut mendokumentasikan bahawa sebanyak 24.3 peratus responden menyatakan pendirian tidak berhasrat untuk mengundi, manakala 18.3 peratus lagi masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pembabitan mereka.
Kaji selidik bernombor (9) bagi tahun 2026 tersebut dijalankan antara 28 Ogos hingga 7 September 2026, melibatkan penyertaan kira-kira 1,370 penduduk merentasi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Ia bertujuan mengukur pandangan serta tahap kesediaan awam berhubung penganjuran pilihan raya berkenaan.
Sementara itu di Semenanjung Gaza, dapatan menunjukkan persaingan sengit antara senarai calon parti-parti utama sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat. Gerakan Fatah mendahului tipis kecenderungan pengundi di wilayah berkenaan dengan mengumpulkan 29.9 peratus sokongan, diekori rapat oleh gerakan Hamas yang memperoleh 25.2 peratus.
Selain itu, senarai calon bebas dan profesional mendapat sokongan sebanyak 17.0 peratus, manakala senarai calon yang dikaitkan dengan arus pimpinan Muhammad Dahlan meraih 14.2 peratus sokongan. Keputusan ini sekali gus mencerminkan julat persaingan yang semakin rapat antara pelbagai aliran politik utama di Semenanjung Gaza.
Penterjemah : Farah Najwa