
Jumaat, 23/10/2026 – Pusat Kajian Banduan Palestin (PCPS) telah memberi amaran bahawa lebih 1,500 tahanan Palestin yang sakit di penjara Zionis, termasuk berpuluh-puluh yang berada dalam keadaan kritikal, diabaikan khidmat perubatan biarkan mereka mati secara perlahan.
“Pengabaian perubatan bukanlah amalan baharu di penjara Zionis, tetapi satu dasar yang bermula sejak penubuhannya. Ancaman dasar ini terhadap nyawa banduan telah meningkat dengan mendadak sejak 7 Oktober 2023, dengan tahanan dinafikan sepenuhnya rawatan perubatan dan pemindahan hospital tanpa mengira betapa kritikalnya keadaan mereka,” kata PCPS dalam satu laporan baru-baru ini.
“Kelaparan, kekurangan zat makanan, dan kekurangan nutrien penting telah melemahkan sistem imun banduan dan mendorong penyebaran penyakit, terutamanya kudis. Isu-isu kesihatan ini diburukkan lagi oleh kesesakan yang teruk, akses terhad kepada peralatan kebersihan, dan ketiadaan protokol pengasingan perubatan untuk tahanan yang dijangkiti,” tambah PCPS.
Menurut pusat itu, pengabaian perubatan telah menjadi punca utama kematian sekurang-kurangnya separuh daripada 329 tahanan Palestin yang telah meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak tahun 1967.
“Sejak 7 Oktober 2023, pengabaian perubatan telah menjadi punca kematian kedua utama selepas penyeksaan, meragut nyawa 92 tahanan,” tambahnya.
Penterjemah : Ameen